
Salam INGATAN buat sahabatku TULUNBUNOU.
***
Dahulu,
Pak Tua ku ada seekor anjing diberi nama Bunou. Anjing itu adalah Anjing Buruan Pak Tua. Kami adik-beradik sangat sayang akan anjing itu. Anjing itu jugalah yang menjadi teman Pak Tua untuk ke Bunou. Kadang-kadang aku turut serta bersama Pak Tua untuk ke Bunou. Mungkin juga si Bunou itu mendapat nama bersempena nama Kampung Bunou.
Seperti juga Bunou, Surinit yang merupakan desa kecil tempatku bermain adalah antara nama yang tidak begitu kemas terpahat dalam ingatan kebanyakan orang. Pun begitu, seperti kata sahabatku Tulunbunou, di situ ada kerlipan permata yang sedang menyinar, yang tidak disedari orang...
***

Dulu, aku sering menemani Pak Tua ke Bunou kerana ketika itu Pak Tua mengerjakan padi huma. Namun kenangan itu sudah lama berlalu... dan kini aku hanya mampu mengenangnya dari jauh. Untuk ke Bunou, aku dan Pak Tua perlu melalui denai sempit kemudian menyeberangi anak Sungai Surinit, kemudian melalui Rumah Auntie Rosie, kemudian melalui Sungai Salimandut, kemudian meredah denai lagi, kemudian meredah rimbunan pepohon, menaiki bukit, menuruni lurah, menaiki bukit, turun, kemudian melalui anak Sungai Bunou... dan akhirnya sampai di ladang padi huma Pak Tua. Di sana sang kera sedang menanti sambil menikmati padi huma Pak Tua yang baru sahaja menguning... dan aku menjerit menghalau si kera yang mencuri padi huma Pak Tua... Demikianlah, dari Surinit ke Bunou! Sebuah perjalanan yang
penuh ranjau...
***
Adapun, rumah Tulunbunou letaknya ke hulu sedikit dari ladang padi huma Pak Tua. Aku sering juga menemani Pak Tua ke rumah Tulunbunou sebab Pak Tua kata mahu jumpa datuk Tulunbunou. Datuk Tulunbunou ini baik orangnya...
Perkenalanku dengan Tulunbunou pada ingatanku bermula di SRK Tumunda Salimandut. Walaupun kami tidak berada dalam kelas yang sama tapi saya percaya kerana keikhlasan hati masing-masing untuk bersahabat, maka kami menjadi sahabat yang paling akrab.
***

Tangga sekolah ini menjadi saksi suka duka kami bersama Tulunbunou dalam menimba ilmu bermula tahun 1988 sehingga tahun 1993. Kemudian, pada tahun berikutnya, kami membawa haluan masing-masing kerana tuntutan hidup yang mendesak ketika itu. Tulunbunou memilih untuk terus menimba ilmu di daerah kelahirannya, manakala aku memilih untuk merantau jauh untuk meneruskan perjuangan hidup. Namun, persahabatanku dengan Tulunbunou tetap mekar dalam jiwaku...
***

1 comments:
Jarak dan waktu tidak mungkin dapat memisahkan sebuah persahabatan yang murni...
Post a Comment